Infoscript

Tuesday, August 24, 2021

Restore cat kereta dengan spray can (part 3)

Dah tiba masa untuk mengecat kereta dengan cat primer. Sebelum tu pastikan permukaan kereta telah betul-betul licin, cuba rasa dengan jari. Selagi ada rasa tak rata kena gosok lagi dengan kertas pasir. 

Kadang kala rasa dah malas nak gosok pun ada sebab dah lama sangat menggosok, tapi kalau hasil nak cantik kenala usaha lebih. Oklah kalau dah sedia kita goncang dulu spray. Sebelum tu saya lupa nak beritau kita kena cari nozzle yang sesuai untuk spray cat. Kalau guna yang biasa agak susah sikit nak dapat cat yang rata. Kena gunakan nozzle yang menyemburkan cat dengan lebar. Kalau nozzle yang biasa menghasilkan semburan agak kecil. Hasil akhir nanti akan jadi tiger stripe atau pun jadi berjalur macam bendera. Jadi dapatkan dulu wide spray nozzle. 

   Ini dia nozzle jenis semburan 
   lebar. Boleh lihat nozzlenya 
    tak sama

Kena guna nozzle macam di atas boleh cari online. Bila nak sembur cat mesti ada cara yang baik. Yang pertama jarak semburan jangan ikut yang disarankan seperti kat tin spray. Jarak yang disarankan tu kalau buat masa hari yang panas akan menyebabkan hasil semburan menjadi kasar. Ini kerana cat akan menjadi kering terlalu cepat sebelum ia melekat pada permukaan. Permukaan yang dicat akan menjadi kasar seperti kertas pasir. Jarak yang terbaik adalah dalam 10 - 15 cm. 

Kedua apabila membuat semburan pastikan pergerakan tangan adalah pantas, jangan terlalu lambat kerana jika lambat cat akan menjadi terlalu tebal dan akan meleleh. Pastikan pergerakan tangan adalah sekata.. Biarkan sembur dengan nipis dan ulang semula semburan apabila lapisan pertama telah kering. Ianya lebih baik. 

Ketiga apabila kita sembur cat mesti ada overlap antara semburan yang pertama dengan kedua. Langkah ini paling penting kerana jika tiada overlap nanti hasilnya akan menjadi tiger stripe atau belang harimau. Lagi luas semburan nozzle itu akan menyebabkan hasilnya lebih baik bila overlap. 

Ke empat pastikan cuaca tidak terlalu panas dan tak terlalu sejuk. Kalau dah petang biasanya angin kuat dan boleh mengganggu semburan cat. Habuk juga akan banyak berterbangan di udara. Ia boleh melekat pada cat yang disembur. Kalau cuaca panas cat akan kering cepat sebelum ia melekat pada permukaan. Ia boleh menyebabkan hasil semburan cat menjadi kasar. Kalau terlalu sejuk atau baru lepas hujan banyak pula wap air dalam udara. Cat akan lambat kering dan air boleh meresap ke dalam cat dan merosakkan cat. 

Kalau di kedai cat kereta nozzle spray gun  yang digunakan memang mempunyai luas semburan yang besar. Ini menyebabkan semburan lebih halus dan tiada tiger stripe terhasil. Memang tak boleh lawan la kalau guna spray gun ia mempunyai tekanan udara yang lebih tinggi berbanding spray can. Biasanya spray can ni bila cat dalamnya dah tingal separuh, tekanan di dalamnya dah jadi rendah. Corak semburan pun dah tak cantik. Sebab itu semburan cat guna spray can ini tak cantik.

Dah tahu tiga syarat di atas barulah boleh sembur cat. Boleh cuba bahagian bonet dahulu, ianya rata dan lebih mudah untuk disembur. Tetapi nak dapatkan hasil yang cantik kat permukaan yang rata dan luas memang susah. Boleh sembur dari kiri ke kanan atau dari atas ke bawah. Mana-mana pun boleh

Saya sembur secara ke atas dan ke bawah. Bila dah sembur satu line atas bonet semburan kedua mestilah overlap atau bertindih sebanyak 60 peratus dengan line yang pertama. Pastikan line yang pertama itu masih basah dan bersambung dengan line yang kedua. Kalau ia dah kering nanti tak cantik hasilnya. 

Jangan berhenti sehingga sampai ke hujung bonet. Jaga jarak antara spray can dengan permukaan bonet dan kelajuan pergerakan tangan. Pastikan kelajuan pergerakan tangan adalah sama. 

Selepas habis buat lapisan pertama, tunggu sehingga kering selama 10 -15 minit. Lapisan yang pertama memang tak cantik tapi jangan risau lapisan yang kedua dan ketiga nanti akan jadi lebih baik.

Jika ada masalah seperti ada kawasan yang tak cukup cat anda kena lebihkan sedikit semburan di kawasan tersebut.

 Kadangkala memang ada masalah ini jika sembur pada permukaan yang mendatar. Jika permukaan menegak tidak ada masalah ini. Cara nak hilangkan kawasan yang kurang cat ini adalah dengan menyembur sehingga dapat satu lapisan cat yang tebal sedikit di kawasan tersebut. Jadi kena sembur berulang kali di kawasan tersebut.  Ianya akan membentuk satu lapisan cat yang sekata. Jangan sembur terlalu tebal nanti nampak tak cantik. Pastikan juga anda sembur bahagian ini semasa cat belum lagi kering. Jika sudah kering kawasan yang bersebelahan dengan tempat yang anda ingin ratakan cat tadi akan menerima sedikit titisan cat daripada tempat yang nak diratakan tadi. Ini menyebabkan kawasan itu akan berubah warna. 

Proses untuk menyembur cat baik dilakukan di tempat yang tertutup. Kalau tempat terbuka nanti ada tiga masalah yg akan membuatkan hasil cat tak memuaskan. Pertama habuk, kalau tempat anda memang banyak habuk ia akan melekat pada cat dan menyebabkan hasil cat anda nampak kasar. Kedua angin, jika angin kuat ia akan menyebabkan titiisan cat yang anda sembur akan melekat pada bahagian yang telah kering catnya. Ini akan menyebabkan kawasan tersebut menjadi sedikit kasar dan berubah sedikit warnanya. Ketiga lalat, serangga ni memang suka dengan bau cat. Lalat ni akan melekat pada cat yang belum kering. Boleh tanggalkan lalat yang melekat ini dengan menggunkan pita pelekat dengan berhati-hati. 

Kalau cara semburan ini tak berjaya memberikan hasil yang memuaskan untuk anda, saya akan bagi satu lagi teknik yang mungkin lebih baik untuk anda. Kalau hasil cat anda tak cantik pun sebenarnya ia sudah dapat mengelakkan kereta anda daripada berkarat.