Infoscript

Tuesday, August 13, 2024

Stereng Iriz jadi berat selepas alignment

Baru-baru ini saya ada buat alignment tayar kereta Iriz ni, tapi ada masalah yang berlaku selepas buat alignment ini.Tiba-tiba selepas alignment saya dapati stereng jadi berat seperti tak mahu mengikut arah yang kita inginkan. Contohnya apabila melalui jalan yang tak raya stereng akan bergoyang sedikit tapi saya rasa stereng tak mahu diluruskan dengan mudah, terasa berat untuk mengawal stereng. Jika memandu di atas jalan yang lurus pula terasa stereng tak boleh dipusingkan ke kiri dan ke kanan dengan mudah.

Punca berlakunya masalah ini adalah pada steering angle sensor. Steering angle sensor ini biasanya ada pada kereta yang menggunakan electric power steering dan juga yang ada sistem ESC. Steering angle sensor ini menunjukkan arah yang dipandu dan menyelaraskan stereng dengan roda hadapan. 

Steering angle sensor (SAS) juga menyediakan maklumat tentang kelajuan stereng dipusing. Stereng dipusing dengan cepat adalah perkara biasa semasa operasi kelajuan kenderaan rendah, tetapi bukan perkara biasa semasa memandu di lebuh raya. Jika pemandu memusing roda pada kadar yang tinggi semasa memandu pada kelajuan lebuh raya, ESC akan mentafsirkan bahawa sebagai petunjuk kenderaan telah hilang kawalan. 

Apabila sensor ini rosak, maklumat yang dikumpul atau dihantar kemungkinan besar akan menjadi tidak tepat. Jika terdapat sebarang kesilapan dalam maklumat daripada SAS yang dihantar ke ESC, kod ralat dihantar ke modul kawalan enjin kenderaan (ECM) yang kemudiannya menghidupkan lampu amaran pada papan pemuka. 

Berbalik pada masalah stereng kereta iriz ini jadi berat, jika tiada lampu amaran ESC yang menyala di dashboard, masalah yang anda hadapi adalah sensor SAS tidak memberikan bacaan yang tepat. Sensor ini perlu dibuat recalibration. Biasanya kedai tayar akan reset semula sistem SAS ini. Kadang kalau ada kedai yang lupa nak buat. Maka hasilnya apabila kita pandu kereta stereng akan jadi berat dan tak mengikat arah yang kita mahukan. 

Mujurlah untuk model Iriz ini kita boleh reset SAS secara manual. Caranya pastikan ignition dalam keadaan on tanpa enjin dihidupkan. Bagi yang menggunakan kunci hanya perlu pulas kunci pada kedudukan on. Jangan start enjin, hanya boleh dengar bunyi pam petrol sahaja semasa on kan suis. Bagi yang menggunakan push start button, anda perlu tekan button dua kali tanpa menekan brek. 

Selepas ini putarkan stereng ke kanan sampai habis, dan diikuti dengan putaran ke kiri sampai habis. Ulang prosedur ini sebanyak tiga atau empat kali. Pastikan kereta anda berada di kawasan parking yang rata. Memang agak berat untuk putarkan stereng dalam keadaan enjin tidak dihidupkan. Nak mudah buat di kawasan berpasir atau atas padang. kalau buat kat parking rumah basahkan lantai dengan air untuk lebih ringan.

Akhir sekali off kan kunci dan start enjin. Selepas ini anda boleh rasa stereng akan jadi ringan. Selepas dua atau tiga kali pemanduan sistem stereng akan dapat sesuaikan semula dengan alignment yang baru dibuat sebelum ini. Jika tak berjaya ulang semula kaedah reset tadi tetapi tanggalkan dahulu terminal bateri.

Jika masalah berulang selepas beberapa hari buat rreset boleh gunakan cara ini, hidupkan enjin dengan gear pada kedudukan P. Putarkan stereng sampai habis ke sebelah kanan dan kemudian putarkan stereng sampai habis ke sebelah kiri. Ulang sebanyak empat kali. Cara ini saya uji berkesan jika penyakit ini datang semula. Kalau tak berjaya juga boleh pergi kedai tayar untuk buat recalibration dengan menggunakan komputer

No comments:

Post a Comment