Infoscript

Tuesday, February 13, 2024

Dashboard iriz ada bunyi tikus

Masalah bunyi tikus pada dashboard iriz memang menyakitkan hati. Kereta baru beli tapi ada bunyi bila lalu jalaam yang tak rata. Puas juga saya cuba mengesan punca bunyi ini tapi tak berjaya. Masalah masih tak settle walaupun dah dibawah ke service center. Kuranglah sikit bunyinya selepas technician letak sedikit padding pada bahagian bawah dashboard. 

Masalah hanya selesai apabila saya buka dashboard untuk tukar cooling coil. Masalah ini hanya disebabkan oleh bolt yang mengikat airbag pada sebelah penumpang depan. Bolt ini didapati longgar dan menyebabkan kotak airbag bergoyang-goyang apabila melalui jalan yang tak rata

Nak lihat kotak air bag ini kena tanggalkan glove box. Cara nak buka glove box, mula-mula buka pintunya dan seterusnya tarik bahagian bawah pintu ini pada bahagian engselnya. 
   Tarik bahagian bawah ini untuk tanggalkan glove box

Selepas itu sengetkan sedikit glove box untuk menanggalkan sepenuhnya bahagian atas glove box. Bila dah buka glove box baru boleh nampak kotak air bag pada bahagian dalam dashboard. 

.  Buka glove box dan lihat pada bahagian kotak air bag


Ini dia kotak air bag. Ada dua bolt di sebelah kiri dan kanan

Ada dua bolt pada kotak air bag yang perlu diketatkan. Bolt ini bersaiz 12 mm. Ketatkan secukup rasa sahaja jangan terlalu ketat nanti loose pula. Lepas ini pasang semula glove box dan boleh test kereta pada jalan yang tak rata. Kalau tiada masalah lain anda akan dapati dashboard tiada lagi bunyi-bunyi tikus. 



Monday, November 13, 2023

Tukar spark plug Iriz

Tukar spark plug kereta taklah susah mana. Mula-mula rasa macam malas nak menulis mengenai tukar spark plug ni. Tapi rasa bosan pula masa lepak kat kedai mamak, rasa rajin pula nak menulis. Boleh juga nak share ilmu kat pemandu-pemandu baru. Bila masanya kita perlu tukar spark plug ni, kalau ikut manual dalam 50k km atau pun 100k km. Lain kereta lain saranan pengeluarnya. Saya guna spark plug sampai rasa enjin dah takde pick up atau jerking.Biasanya dalam Lima tahun baru tukar. 

Untuk buka spark plug ni ada jual spanar khas yang boleh dibeli di kedai spare part. Tapi saya tak berapa suka spanar ni, sebab bila dah guna lama rivet dia akan longgar dan terus tertanggal. Jadi saya lebih suka guna box socket. Untuk spark plug iriz kena guna soket saiz 14 mm yang panjang. Kalau guna yang pendek memang tak sampai. Selain itu kena guna socket extension jenis L dan I. Ianya lebih tahan dan socket ini boleh digunakan untuk bolt yang lain . Sebaiknya tunggu enjin dah sejuk supaya tak melecur tangan. Kalau enjin panas 
.  Gunakan socket 14 mm 
    yang panjang 

Mula-mula buka dulu cover plastik yang menutup bahagian atas valve cover. Ada empat bolt yang perlu dibuka bersaiz 8 mm. 

.  Cover dah dibuka

Kemudian buka socket pada plug coil. Cabutkan dulu klip pada socket dengan menggunakan skru driver leper. 
.  Tolak klip pada socket dengan skru driver

. Socket dah dapat dibuka

Bila dah buka socket bolehla buka bolt yang mengikat plug coil pada block enjin. Bolt ini bersaiz 8 mm. Bila dah buka bolt bolehla tarik plug coil ini ke atas. Agak ketat juga nak cabut plug coil ini kalau lama tak pernah dibuka. Boleh tolak sikit gunakan skru driver.
.  Tolak sedikit dengan skru driver untuk memudahkan menanggalkan plug coil

Buka ke empat-empat plug coil. Sebaiknya anda susun ikut kedudukan yang sama seperti keadaan asal. Nanti nak pasang semula ikut kedudukan yang asal. 

Kemudian buka spark plug dengan dengan menggunakan socket 14 mm dan extension. Bila dah longgar tarik keluar plug dengan menggunakan playar. Tak boleh nak gunakan tangan sebab  plug terletak jauh ke dalam. 
   Kalau ketat boleh sambungkan extension lebih panjang
Tarik plug yang dah longgar dengan playar

Gantikan semua plug satu persatu. Pastikan semasa anda ketatkan plug jangan ikat terlalu ketat. Nanti boleh loose pula dah jadi masalah lain. Gunakan extension L yang pendek sahaja jangan sambung sampai dua extension takut terlebih pulas
.  Bila pasang semula plug biarkan hujung extension yang pendek sahaja. Jangan ikat terlalu ketat

Check semula ke empat-empat plug samada telah diketatkan, takut ada yang terlupa nak diketatkan. Akhir sekali pasang semula coil plug dan soketnya. Hidupkan enjin dan dengar kalau ada bunyi-bunyi yang pelik. Kalau tak dipasang dengan betul mungkin enjin akan hidup dengan tiga silinder sahaja.

Friday, November 3, 2023

Tukar valve cover gasket Exora CPS

Masa bersihkan enjin hari tu  ada perasan leaking pada valve cover gasket.Kalau biarkan lama-lama nanti kotor pula bahagian enjin ni dengan minyak. Jadi lebih baik tukar gasket yang baru. Nak buka pun tak susah. 

Pertama sekali kena cabut dua hose pada valve cover gasket ini.Ada di sebelah kiri dan kanan valve cover. Longgarkan dulu klipnya dengan playar dan tolak ke belakang. 
.   Tanggalkan dua hos ini.

Buka cap untuk minyak silinder dan kemudian buka cover spark plug yang berwarna merah. Ada enam skru yang perlu dibuka. Semuanya bersaiz 8 mm. Gunakan soket 8 mm lebih mudah untuk buka skru ini. Sebaiknya nak repair valve cover ini tunggu enjin sejuk. Nanti bila nak ketatkan bolt valve cover tak terlebih pulas sampai jadi loose pula. Kalau enjin tengah panas memang mudah nak terlebih pulas spanar. 

Spark plug cover dah dibuka

Seterusnya tanggalkan kabel plug. Tarik sahaja ke atas. Buka semua kabel plug tersebut dan letakkan ditepi.
  Kabel plug dah ditanggalkan

Kemudian buka dua skru bersaiz 8 mm pada sebelah belakang top cover ini.Ini bukan skru yang mengikat valve cover. Ianya mengikat dua soket yang berada di belakang valve cover ini. Buka juga bahagian atas kotak air filter supaya mudah nak buka bolt pada valve cover. Buka bahagian atas kotak air filter sahaja

Buka satu bolt pada timing belt cover. Bolt ini diikat pada valve cover. Jika tak buka bolt ini nanti valve cover tak boleh ditanggalkan.. Seterusnya buka bolt yang mengikat valve cover ini. Gunakan soket bersaiz 12 mm. Pada bahagian bawah bolt ini ada washer yang menutup lubang pada valve cover Iini, pastikan anda tidak hilang washer ini. Kadang-kadang ia dah longgar dan boleh terjatuh.
.    Buka bolt yang mengikat valve cover

Bila dah buka lapan bolt ini bolehla goyangkan valve cover ini untuk menanggalkannya. Kalau ketat boleh ketuk sedikit dengan tukul getah atau cungkil perlahan-lahan dengan skru driver pipih. 
.  Valve cover dah berjaya dibuka

Bila dah dapat buka anda boleh perhatikan keadaan camshaft. Kalau minyak enjin dijaga dengan baik memang bersih keadaan camshaft. Enjin kereta saya ni cuma pakai minyak Mizu murah je. Dah empat tahun guna minyak ni nampaknya keadaan camshaft ini masih bersih. 
.   Bersih keadaan camshaft ni walaupun dah 11 tahun

Camshaft bahagian intake ada dua profile. Satu untuk low rpm satu lagi profile untuk high rpm.
    Dua profile camshaft pada bahagian intake

Dua profile camshaft ini membolehkan enjin CPS dapat menghasilkan 125 hp. Kalaula proton pasang dua profile juga pada bahagian ekzos lagi bertenaga enjin CPS ini. Mungkin kos untuk menghasilkan enjin akan meningkat tapi kuasa yang dihasilkan boleh standing dengan enjin Campro CFE

   Seterusnya bersihkan kawasan tempat gasket melekat dengan kain atau tisu sampai bersih. Bersihkan pada bahagian valve cover dan juga pada bahagian atas enjin. 
   
    Bersihkan tempat pelekatan gasket ini

Selepas dah bersihkan tempat pelekatan gasket sapukan sedikit gam gasket pada bahagian yang bertentangan dengan timing belt. Kena letak gam gasket di situ supaya tiada minyak yang akan leaking pada kawasan timing belt. Lama-lama boleh putus timing belt kalau terkena dengan minyak enjin. 
.  Sapukan gam gasket di kawasan ini

Pasangkan gasket baru pada valve cover. Pastikan kedudukannys betul semasa memasamg semula. Selepas memastikan kedudukan valve cover dipasang dengan betul pada tempatnya bolehla pasang semula.bolt yang mengikat valve cover. Mulakan dari bahagian tengah secara berselang seli bahagian atas dan bawsh hingga sampai hujung kiri Dan kanan. Bila ketatkan bolt intake cover ini jangan ikat terlalu kuat sebab ia mudah loose . Agak-agak dah ketat sikit okla. 

Kemudian pasang semula hose dan soket pada valve cover. Seterusnya pasang spark plug dan kabel plug. Last sekali pasang semula kotak air filter. 

Sunday, October 15, 2023

Masalah power window Wira

Antara masalah yang paling famous untuk model Wira adalah power window. Setiap dua atau tiga tahun pasti akan rosak. Masalah ini juga nampaknya dah berjangkit dengan model iriz. Sepanjang 20 tahun guna wira ni rasanya dah10 kali tukar. Sebenarnya tak susah pun nak repair power window ni. Kali ini sahaja baru ada masa nak tulis berkenaan power window Wira.

Komponen yang menaik turunkan cermin kereta ni terdiri daripada regulator dan motor sahaja. Biasanya kalau tak boleh gerak masalahnya pada regulator itu sendiri. Kabel pada regulator dah putus dan tersangkut pada pulley. Ini menyebabkan motor tak dapat menggerakkan cermin ke atas atau ke bawah. Motor power window ni lambat sikit nak rosak kalau tak selalu kena air. 

Untuk tukar regulator power window mula-mula kena buka dulu cover pintu. Sebelum itu kena buka pemegamg pintu dan juga  cover untuk tuil pembuka pintu. Lepas buka dua ini kena buka skru yang mengikat panel cover pintu. Kemudian boleh tanggalkan cover pintu dengan cara menariknya sahaja sebab ia cuma dilekatkan dengan klip sahaja. Jika guna model 1.5 atau 1.6 sebelum boleh cabut cover pintu ni kena buka socket pada suis power window. 

Di belakang cover pintu pula ada plastik yang menutup bahagian dalam pintu supaya tak masuk air. Selakkan sahaja plastik ke atas selitkan pada ruang kecil antara pintu dengan cermin. Langkah seterusnya adalah buka socket untuk motor power window
.  Buka soket ini
Jika cermin tingkap memang dah tak boleh gerak langsung agak leceh sikit anda kena potong kabel bahagian atas regulator ini. Gunakan gergaji besi untuk memorongnya atau guna playar. 
.  Potong kabel ini supaya cermin dapat diturunkan

Sebelum potong buka dulu bolt yang melekatkan motor power window pada pintu. Kalau tak buka motor ni nanti takde ruang untuk potong kabel. Bila dah potong boleh gerakkan motor ni ke atas untuk memudahkan pemotongan kabel. Kemudian langkah penting seterusnya anda selitkan skru driver antara cermin pintu dengan ruang kosong di tepinya. Jika tak buat begini kalau dah siap potong kabel cermin akan terturun dengan sendiri. Kalau ia terhempas ke bawah dengan kuat nanti pecah pula cermin 
.   Buka tiga bolt ini

Kemudian anda perlu turunkan cermin tingkap sehingga aras yang ditunjukkan dalam gambar ddi bawah. 
.  Turunkan sampai aras ini

Bila dah turunkan pada aras ini baru senang nak buka skru yang melekatkan cermin pada regulator. Ada dua skru yang perlu dibuka. 
.  Buka dua skru ini

Kemudian angkat sedikit cermin ini dan sengetkan sikit untuk mengeluarkan cermin ini dari tapak laluannya.
.  Angkat sedikit cermin ini.

Letakkan cermin ini ke dasar pintu dengan berhati-hati. Boleh juga nak keluarkan terus  cermin dengan menariknya terus ke atas. Seterusnya buka bolt yang mengikat regulator ini pada pintu. Ada empat bolt semuanya. 
. Buka dua bolt di bawah dan 
   dua di bahagian atas

Bila empat bolt dah dibuka baru boleh keluarkan regulator daripada tingkap. Keluarkan dengan hati-hati kala yang ada tinted tu takut bercalar pula kalau bergeser dengan  regulator.
.   Regulator dah dapat    
    dikeluarkan

Langkah seterusnya adalah untuk tanggalkan motor daripada  regulator yang lama ini. Ada tiga skru yang mengikat motor ini pada power window. 
. Buka tiga skru ini
.  Motor dah ditanggalkan

Seterusnya pasang motor ini pada regulator yang baru. Regulator baru tak mahal harga dalam RM 35 sahaja. Regulator baru ada adapter yang boleh membolehkan ia digunakan pada model Wira sebelum 2003 dan selepas 2003.
.  Kalau model 2003 ke atas boleh guna bahagian ini
.  Model sebelum 2003 boleh guna bahagian ini

Pasangkan semula regulator pada pintu. Pasang semula empat bolt yang mengikatnya. Kemudian pasang bolt yang mengikat motor power window pada pintu.  Pastikan anda pasang dengan ketat. Kalau longgar nanti berbunyi pula masa naik dan turunkan tingkap. Seterusnya pasang soket untuk suis power window. Uji dulu power window dengan menaik Dan turunkan tingkap. Ada baiknya anda spray silicon pada railing cermin tingkap supaya ia dapat bergerak dengan lancar. Akhir sekali kalau anda dah berpuashati Dan tiada bunyi-bunyi pelik yang keluar bolehla pasang semula cover pintu sebelah dalam 

Saturday, October 14, 2023

Tukar casing kunci Exora jenis flip

Remote casing Exora ni kalau dah lama sangat akan patah juga. Jadi kalau nak kelainan bolehla tukar cover jenis flip. Cuma jenis yang flip ni bukan plug and play ada kos tambahan  yang perlu anda keluarkan. 
.   Remote case jenis flip
Harganya tak mahal anda boleh dapatkan secara online dengan harga RM 11 - 12. Nampak lebih modern berbanding yang asal. Pertama sekali kena keluarkan isi perut remote yang lama. Anda perlukan set skru driver bersaiz kecil yang boleh dibeli di kedai Mr Diy. Buka satu skru belakang remote yang lama dan keluarkan papan litarnya. Jangan lupa juga keluarkan chip immobilizer. Kalau takde chip ni nanti kereta tak boleh start
.  Chip immobilizer yang bertanda biru mudah hilang kalau tak perasan

Seterusnya buka pula dua skru pada casing yang baru. Tanggalkan penutupnya.
.   Buka dua skru ini. 

Buka skru pada bahagian atas pula. Yang bahagian atas ni berhati-hati sikit sebab ada spring di dalamnya takut terjatuh pula spring ini. Di bahagian ini juga ada kunci baru.
.  Spring untuk flipkan kunci

Cover bahagian atas ini akan berputar arah jam bila kita nak tanggalkan. Ikutkan sahaja sampai anda boleh tarik keluar casingnya. 
.  Ini bentuk casing yang dah dibuka sepenuhnya. Lekatkan papan litar pada bahagian yang bertanda

Kemudian lekatkan papan litar pada casing yang baru. Pastikan ke tiga-tiga suis pada papan litar tu berada di kedudukan yang betul untuk button lock, unlock dan alarm. Kemudian boleh tutup cover bahagian bawah pasangkan skrunya. Masukkan juga chip immobilizer pada slotnya. 
.  Ini slot untuk immobilizer 

Pastikan bahagian atas chip ini mengadap pada kunci. Kalau tak betul kedudukannya nanti tak boleh start pula enjin. Akhir sekali pasang cover pada bahagian atas casing ini. Letakkan spring pada slotnya dan letakkan cover. Pusingkan cover atas yang melekat pada spring tersebut arah lawan jam sebelum menutup casing tersebut. Kalau tak pusingkan cover atas ini nanti kunci tak boleh nak flip bila tekan buttonnya. 
.  Slot untuk spring, kena pusingkan cover ini masa pasang nanti. 

Lepas skrukan bahagian atas ni dah siapla part yang pertama. Bahagian yang kedua adalah bahagian kos yang tersembunyi iaitu kunci yang baru ni perlu dipotong ikut yang asal. Masalahnya kedai-kedai kunci yang biasa tak sanggup nak duplicate kunci yang baru ini. Kebanyakkanya takut nak potong kunci yang baru. Kalau tersilap potong tak boleh start enjin. Kalau kereta lama takde masalah, kereta moden sekarang ada banyak ciri keselamatan. Jadi kena car kedai yang jual remote macam ni. Diaorang ada alat untuk scan kunci ni dulu sebelum potong. Kos untuk potong kunci yang baru ini antara RM 20 - 25. Jadi akan bertambahla kos untuk tukar kunci yang baru. 

Akhir sekali test kunci baru ini untuk hidupkan enjin. Untuk kunci baru ini anda putarkan lebih sebelum enjin boleh dihidupkan. Kalau pulas macam kunci yang lama memang enjin takkan hidup



Saturday, October 7, 2023

Servis oil sump Wira

Enjin kereta Wira ini dah mula berbunyi kasar seperti kekurangan minyak pelincir. Ada kemungkinan minyak enjin tak naik dengan cukup ke bahagian atas. Jadi ada baiknya juga saya check keadaan oil strainer kat oil sump. Mungkin selepas 20 tahun penggunaan ia dah mula tersumbat. 

Nak servis oil sump ini agak leceh sikit sebab anda kena baring di bawah kereta. Mula-mula kena jack kereta agak tinggi supaya dah ruang yang lebih untuk bekerja. Jangan lupa tahan dengan jack stand dan letakkan sekali penahan tayar supaya kereta tidak bergerak.

Seterusnya kena buka sedikit bahagian ekzos. Buka bahagian tengah yang bersambung dengan extractor dan yang belakang yang bersambung dengan tabung tengah 
.  Buka bolt ini
.  Buka bolt ini saiz 19 mm
.  Buka bolt di bahagian tabung tengah bersaiz 15 mm

.  Buka juga bolt yang ada    
   lapik getah ini berrsaiz 12     
   mm

Nak senang buka bolt ekzos ini spray dulu dengan WD40 dan tunggu beberapa minit. Biasanya bolt ekzos ini dah berkarat dan susah nak dibuka. Gunakan spanar atau box socket yang ada enam mata untuk tidak merosakkan nat. Jangan lupa untuk tanggalkan socket sensor ekzos sebelum anda tanggalkan ekzos. Kalau lupa nak tanggalkan nanti putus pula wayar sensor tu. 

Bila dah tanggalkan ekzos baru ada ruang untuk keluarkan oil sump. Ada 17 bolt yang perlu dibuka.  Bolt ini bersaiz 10 mm.  Pastikan anda tidak hilang bolt ini. Bila dah buka semua bolt anda perlu umpil bahagian tepi oil sump dengan skru driver pipih. Ketuk sikit perlahan-lahan. Jangan umpil terlalu kuat nanti berlekuk pula bahagian tepi oil sump ini. Kena umpil pada banyak  bahagian sekeliling oil sump ini. Kalau sebelum ini mekanik yang pasang letak banyak gam gasket memang susah juga nak tanggalkan oil sump.
.  Buka bolt saiz 10 mm ni

Bila dah boleh buka oil sump perhatikan keadaannya sama ada berkeladak atau banyak kekotoran. Kalau teruk sangat memang kena basuh bersih-bersih. Gunakan sabun pencuci baju jenis serbuk pun boleh. Kalau kereta saya ni tak banyak keladak saya sembur dengan air sahaja dah bersih. 

Lepas hilangkan segala kotoran kena tanggalkan gasket lama yang melekat pada tepi oil sump. Gosok dengan scrapper plastic atau gunakan kayu nipis. Jangan guna scrapper besi nanti bercalar dan mudah leaking semula. Pada bahagian enjin juga tanggalkan serpihan gasket lama sampai bersih.
.  Kikis semua gasket lama di sekeliling oil sump

Buka oil strainer dengan socket saiz 12 mm..Kalau dah tersumbat teruk kenala ganti baru. Kalau sikit sahaja tersumbat boleh basuh sahaja sampai bersih.  Kemudian keringkan dengan hair dryer atau jemur sahaja. Bila nak pasang semula sapu sikit gasket maker pada tapaknya. Jangan banyak sangat takut nanti kalau tertanggal tersumbat pula kat saluran minyak.
.  Oil strainer dah tersumbat kalau boleh cuci boleh guna semula

Seterusnya sapukan gam gasket pada sekeliling oil sump. Jangan terlalu banyak takut serpihannya boleh memyumbatkan laluan minyak enjin. Untuk pasang semula oil sump ini pastikan pasang berselang seli bermula di bahagian tengah. Jangan terlalu ketat ikat bolt takut loose pula. 

Akhir sekali pasang semula bolt pada ekzos yang dah dibuka sebelum ini. Kemudian hidupkan enjin dan periksa oil sump untuk melihat jika ada sebarang kebocoran. Bawa kereta agak lama sedikit untuk lebih pasti tiada kebocoran. Pastikan juga tiada bunyi-bunyi pelik selepas servis oil sump. Kalau oil strainer tak dipasang dengan ketat boleh menyebabkan minyak enjin tidak dipam dengan cukup ke bahagian atas